Tuesday 26 November 2013

Serangga bena perang


Serangga bena perang adalah mahluk ciptaan Allah yang mendiami sawah padi sekitar Asia Tenggara, China, Korea, Jepun dan juga sekitar benua India.Nama saintifik bagi serangga ini adalah Nilaparvata lugens. Bena perang terbahagi kepada yang bersayap pendek dan bersayap panjang. Ia mengambil masa 28 hari untuk membesar dari peringkat telur hingga keperingkat dewasa untuk satu pusingan hidup.  Saiz serangga ini adalah sangat kecil disekitar 5 mm.

Serangga ini menjadi pokok padi sebagai makanan dengan menghisap cecair pada pangkal batang pokok padi. Gerombolan ribuan serangga ini mampu untuk memusnah beribu hektar padi dengan menghisap cecair dalam batang padi sehingga menjadi kering. Kebiasaannya serangga ini akan menyasarkan pokok padi yang berumur 40-80 hari selepas tabur sebagai pilihan makanan mereka. Ia akan menyebabkan pokok padi menjadi kuning dan mati dan keadaan ini di kenali sebagai "hopperburn". Gambar di bawah adalah rupa keadaan padi yang telah diserang oleh serangga bena perang "hopperburn".





Dilaporkan dalam suratkhabar sinar harian bertarikh 19/12/2012, lebih 80 hektar sawah padi di Bagan Tiang Titi Serong Kerian Perak telah musnah akibat serangan bena perang. Ini telah menyebabkan petani mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta. Suratkhabar Utusan Malaysia bertarikh 3/2/2010 juga melaporkan bahawa sawah padi di kampung Bukit Raya dalam daerah Pendang Kedah juga diserang oleh serangga bena perang dan menyebabkan pokok menjadi kering yang mana dikenali sebagai "hopperburn". Hampir seribu pesawah padi di kawasan tersebut bimbang akan kerugian ratusan ribu ringgit untuk musim tersebut. Dan mungkin banyak lagi kejadian sebegini telah menimpa pesawah padi akibat dari serangan serangga kecil bena perang ini. Petani yang kebanyakan berpendapatan tidaklah tinggi telah mengalami kerugian ribuan ringgit. 

Dimanakah punca kepada malapetaka yang menimpa pesawah padi ini. Mari kita menyelusuri kepada pengalaman mereka yang telah lama berkecimpung dengan serangan bena perang ini. Daripada website ricehopper.net melaporkan daripada seminar "Ecological Engineering in rice pest management and launching the Myanmar version of the film hopper race" yang telah di adakan di Yangoon Burma 11/10/2013 , anjuran IRRI,ADB dan MRF telah menyatakan bahawa peningkatan serangan bena perang di Asia adalah akibat daripada peningkatan penggunaan racun serangga di kawasan ini. Juga dilaporkan dalam "executive summary" kepada kertas kerja "ADB Sustainable Development Working paper Series" yang bertajuk "Addressing Planthopper threats to Asian Rice Farming and Food Security: Fixing Insecticide Misuse" oleh Dr KL Heong bahawa saintis telah menunjukkan bahawa seranggan bena perang yang mengakibatkan  "hopperburn" adalah disebabkan oleh penggunaan racun serangga yang berlebihan, yang juga di rangsangkan oleh promosi penggunaan racun serangga yang melampau. Website http://irri.org/index.php?option=com_k2&view=item&layout=item&id=11581&Itemid=100888&lang=en
adalah website yang membincangkan secara terperinci bagaimana mengelak dari belaku serangan serangga bena perang.

Jika kita melihat daripada fenomena di atas benarlah firman Allah dalam surah Ar Rum ayat 41 yang bermaksud "Telah berlaku kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)". Dalam surah Al-A'raf ayat 56 Allah berfirman dengan maksudnya " Dan janganlah kamu membuat kerosakan di mukabumi, sesudah Allah memperbaikinya". Peringatan dari Allah lagi dalam surah Al-A'raf ayat 96 " Jika sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertaqwa, pasti kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami), maka kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka".

Semoga kisah serangan bena perang ini dapat menginsafkan kita akan keperluan untuk menjaga keseimbangan persekitaran yang telah dicipta oleh Allah. Marilah kita menjadi manusia yang beriman serta bertaqwa kepada Allah agar kita sejahtera hidup di dunia dan juga di akhirat.




No comments:

Post a Comment

Browsed by others

Your weather just got better.