Sunday 21 October 2012

Dulu dagang dan sekarang ni pun dagang

Perkataan dagang kebiasaannya merujuk kepada orang-orang merantau atau asing di tempat orang. Orang  dagang tidak akan dikenali ketika mereka berada disuatu tempat kerana mereka adalah baru di tempat tersebut. Begitulah halnya islam ketika  Rasulullah menyampaikan risalah ini di Mekah, ajaran yang dibawa oleh Ar-Rasul tidak diterima oleh penduduk Mekah. Islam dilihat seperti orang asing yang datang dari planet mana gamaknya. Ia juga dilihat seperti orang di luar daerah yang datang berdagang ke kota Mekah. Maka bertanya orang dipelusuk kota ini dari mana datang, apa tujuan datang dan kenapa tak sama dengan apa yang nenek moyang mereka perkatakan. Rasulullah berusha dengan gigih dan sabar menyebar risalah yang kelihatan dagang kepada penduduk Mekah. Pelbagai cabaran dan ancaman diterima oleh Ar-Rasul S.A.W dalam menyampaikan ajaran islam ini. Rasulullah ada bersabda yang maksudnya:-

"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali dagang (asing) pula, maka beruntunglah orang-orang yang asing".
(Riwayat Muslim).

Berkat usaha Rasullulah serta para sahabat, islam berjaya disebar keserata dunia dengan jumlah penganut mencecah billion orang. Islam menjadi contoh dalam pemerintahan khalifah islam, banyak ilmu dan tamadun dihasilkan oleh orang islam yang menjadi rujukan tamadun barat. Tapi setelah 1400 tahun lebih Rasulullah berusaha menyampaikan dakwah islam di Mekah serta Madinah,kini islam kembali kepada keadaan dagang. Mereka yang mengamalkan islam yang syumul agak kelihatan janggal serta pelik dalam kelompok masyarakat. Islam tinggal dalam bentuk ibadah khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji, urusan pentadbiran dunia kelihatan janggal serta dagang untuk islam.

Oleh itu islam yang dagang dalam bentuk segala salah faham, kekeliruan, kekaburan, ketidak jelasan tentang penghayatan syariat Islam yang syumul ini perlu diperbetul dan dikembalikan dalam bentuk islam yang dikehendaki oleh Allah dan Rasulnya. Setiap insan muslim yang mencintai kebenaran dan mahu melihat Syariat Islam terlaksana mesti sanggup melakukan usaha yang berterusan ke arah memberikan teguran, nasihat dan pandangan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Contohilah kehebatan peribadi Rasulullah s.a.w. serta para sahabat Baginda dalam mengamal dan mempertahankan segala syariat Allah SWT.

Oleh itu, marilah kita kembali menghayati, melaksana dan mengamalkan segala Tuntutan Islam sebenar berpandukan kepada Quran dan Sunnah. Insya-Allah, kita akan selamat dan sentiasa dibimbing oIeh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya.

"Sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (di tempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oIeh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, Para Siddiqin, Para Syuhada' (orang yang mati syahid) dan orang yang soleh; serta mereka itulah teman yang sebaik-baiknya". "Yang demikian itu adalah kurniaan daripada Allah. Cukuplah Allah yang Maha Mengetahui (akan balasan pahala-Nya)".
(An-Nisa' : 69-70)

Browsed by others

Your weather just got better.