Sunday 3 February 2019

  BABAK PENTING DALAM KARIER KERJA KU DI MARDI

   Tanggal 1 Februari 2019 mengulangi kembali peristiwa yang berlaku hampir 4 tahun lepas iaitu pada tanggal 31 September 2015. Dulu pada tarikh 31 September 2015, aku hampir tergamam dan terkejut dengan perlantikan aku sebagai Timbalan Pengarah Promosi dan Pemindahan Teknologi Pusat Promosi dan Pembangunan Usahawan (PB) MARDI. Antara percaya dan tidak percaya aku terus mendaftar diri dan menyahut cabaran untuk menggalas tanggungjawab ini. Bak kata salah seorang boss ku " kau redah aje ". Ada juga yang memberi kata-kata hikmat "ikut sahaja arahan yang diberi oleh boss,kalau ada masalah boleh bincang kemudian". Namun pengalaman  kerja ku di PB adalah saat kerja yang paling mencabar disepanjang karier ku di MARDI. Pelbagai jerit perih, duka nastapa dan kepayahan yang ku harungi dalam menggalas tanggungjawab tersebut. Antara tugasan yang mencabar yang perlu aku laksanakan adalah untuk menguruskan 2 projek NBOS3, Inkubator dan AZAMTANI MARDI. Pada akhir karier ku di Pusat PB, program ku di tukar kepada program Peningkatan Skala, tapi macam-macam ada didalamnya. Ada kerja pembangunan usahawan tua serta muda, pemindahan teknologi, latihan, promosi , pameran dan pelbagai rencam kerja.

    Tapi tanggal 1 Februari 2019 telah merubah segalanya, aku tidak lagi menjadi Timbalan Pengarah dan memegang apa-apa jawatan pengurusan tetapi menjadi Pegawai Penyelidik di Pusat lama ku, Bak kata perpatah bagaikan sireh pulang ke ganggang. Aku dikehendaki membuat kerja-kerja penyelidikan semula, kakitangan yang ada PhD perlu membuat kerja penyelidikan. Maka aku perlu mengubah fokus dan hala pemikiran ku yang hampir 4 tahun dengan kerja-kerja perkhidmatan pemindahan teknologi dan pembangunan usahawan kepada kerja-kerja penyelidikan. Ya Allah bantulah hamba mu ni dalam melaksanakan tugas ini. Allah humma inni asalukal 'afiah.

   Aku telah melaporkan diri ke tempat kerja baru dan di tempatkan di ER1 iaitu program mekanisasi pemprosesan makanan dan lepas tuai, begitulah lebih kurang nama programnya. Timbalan Pengarahnya Dr Azman bin Hamzah.

   Banyak pengalaman pahit dan manis selama hampir 4 tahun di Pusat Promosi dan Pembangunan Usahawan. Ia akan menjadi bekalan dan panduan ku semasa bertugas di MARDI dan juga di mana2 agensi. Aku bersama dengan usahawan dan peserta AZAMTANI yang miskin, menyelami kehendak dan permasalahan mereka. Apa yang mereka harapkan pada MARDI dan kakitangan MARDI serta jenis teknologi apa yang mereka inginkan. Paling tidak, aku tahu keperluan usahawan dan golongan sasar dalam bidang pertanian dan makanan. Aku berdoa agar segala usaha yang telah aku laksanakan ini menjadi amal-amal soleh yang akan memberatkan timbangan amal kebaikan ku, apabila aku menggadap Tuhan Yang Maha Esa nanti. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Browsed by others

Your weather just got better.