Wednesday 9 November 2011

Makan dan minum ikut sunnah Rasulullah

 Makan ikut sunnah


1. Membaca Basmalah dan menggunakan tangan kanan.
Diriwayatkan dari Umar bin Abu Salamah bahawa dia berkata : “Dahulu ketika masih kanak-kanak di bawah asuhan Rasulullah SAW, saya pernah menjulurkan tangan ke piring, maka Rasulullah SAW berkata kepada saya : “Wahai anak kecil, Sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah apa yang dekat kepadamu.” Sejak itu cara makan saya selalu seperti itu.”
(HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, Malik, ad-Darimi dan Ahmad)

 2. Tidak makan sambil bersandar.
Diriwayatkan dari Ali bin al-Aqmar, beliau berkata : “Aku pernah mendengar Abu Hanifah pernah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Aku tidak makan dalam keadaan bersandar.”(HR. Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, ad-Darimi dan Ahmad)

 3. Makan dengan tiga jari.
Ibnu Ka’ab bin Malik meriwayatkan : “Rasulullah SAW makan dengan tiga jari, dan beliau menjilat tangan sebelum dibersihkan.”(HR. Muslim, Abu Daud, ad-Darimi dan Ahmad)


4. Makanan yang jatuh.
Apabila ada makanan yang jatuh maka buanglah yang terkena kotoran, kemudian makan yang bersih.Ajarilah anak-anak kamu melakukan hal ini.Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW apabila telah selesai makan, beliau menjilat tiga jarinya (yang digunakan untuk makan). Beliau bersabda : Apabila sebahagian makanan salah seorang di antara kamu jatuh, maka buanglah bahagian yang kotor dan makanlah bahagian yang tidak kotor, dan janganlah biarkan makanan itu untuk syaitan.”
(HR. Muslim, Abu Daud, Tirmizi, ad-Darimi dan Ahmad)


5. Memuji Allah dan berdoa sesudah makan.
Diriwayatkan dari Abu Umamah bahawa apabila Rasulullah SAW selesai makan, baginda berdoa : “ Segala Puji yang banyak bagi Allah, pujian yang baik, Pujian yang deberkati, pujian yang tidak pernah cukup, yang tidak pernah ditinggalkan dan pujian yang tidak akan terlepas dari Tuhan kita.”
(HR. Bukhari, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah dan ad-Darimi)

6. Makan tidak berlebihan.
Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda : “ Orang kafir makan dengan tujuh usus, sedangkan orang mukmin makan dengan satu usus.”(HR. Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi dan Ahmad)

Al-Miqdam bin Ma’di Karib al-Kindi meriwayatkan : “saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Tiada bejana yang dipenuhi oleh Bani Adam yang lebih jahat daripada memenuhi perutnya. Cukuplah bagi Bani Adam beberapa suap kecil yang akan menegakkan tulang pinggangnya, jika dia mesti berbuat, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk nafasnya.”(HR. Tirmizi dan Ahmad)


 
Minum ikut Sunnah

 1. Minum dengan tangan kanan..
diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda ;
“Apabila salah seorang diantara kamu makan maka hendaklah dia makan dengan tangan kanannya, dan apabila dia minum maka hendaklah dia minum dengan tangan kanannya, sebab syaitan itu minum dengan tangan kiri, dan makan dengan tangan kirinya.”(HR.Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Malik dan Ahmad)

2. Minum dalam keadaan duduk.
Namun anda juga boleh minum dalam keadaan berdiri.
Diriwayatkan dari Anas bahawa Nabi melarang minum dalam keadaan berdiri.
(HR.Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi dan Ahmad)
An-Nazzal meriwayatkan : “Ali r.a datang di pintu serambi lalu minum dalam keadaan berdiri, kemudian dia berkata ; ‘Sesungguhnya diantara manusia ada yang memakruhkan minum dalam keadaan berdiri, dan saya pernah melihat Rasulullah SAW melakukan seperti apa yang kamu lihat aku lakukan.’”(HR.Bukhari, Abu Daud, Nasa’I dan Ahmad)

3. Pelayan harus minum kemudian.
Diriwayatkan dari Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : sesungguhnya orang yang memberi minum adalah orang yang terakhir minum.”(HR.Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah, ad-Darimi dan Ahmad)

4. Menutup bekas atau bejana.
Diriwayatkan dari Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda : “Apabila malam hampir tiba, maka tahanlah anak-anak kamu agar tidak berkeliaran, kerana pada masa itu syaitan berkeliaran. Apabila malam telah berlalu sebahagian, maka bebaskanlah mereka dan tutuplah/kuncilah pintu dengan menyebut nama Allah. Tutuplah semua tempat air kamu dengan menyebut nama Allah, tutuplah semua bejana kamu dengan menyebut nama Allah, walau dengan penutup apapun engkau letakkan di atasnya, serta padamkanlah lampu menjelang tidur.”(HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Malik dan Ahmad.)

5. Jangan bernafas ke dalam bekas atau bejana.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Apabila salah seorang daripada kamu minum, maka jangan bernafas di dalam bejana, dan apabila masuk ke dalam jamban (tandas) maka janganlah dia menyentuh kemaluannya dengan tangan kanan, dan jangan cebok dengan tangan kanan.”(HR. Bukhari, Muslim, Tirmizi, Nasa’I, ad-Darimi dan Ahmad)

6. Menenggelamkan lalat dalam minuman.
Ubaid bin Hunain r.a mengatakan, “Aku pernah mendengar Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Apabila lalat jatuh pada bejana kamu, maka hendaklah menenggelamkan semuanya kemudian membuangnya, sebab pada salah satu sayapnya terdapat ubat dan pada sayap kedua terdapat penyakit.
(HR. Bukhari, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

7. Berkumur-kumur setelah minum.
Kita disuruh berkumur-kumur setelah meminum minuman yang berlemak. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi SAW pernah meminum susu kemudian meminta air, lalu berkumur-kumur. Baginda bersabda ; “Sesungguhnya susu itu mengandungi lemak.”(HR. Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Nasa’I, Ibnu Majah dan Ahmad)

Browsed by others

Your weather just got better.