Saturday 29 June 2013



Marhaban ya Ramadhan

Bulan Syaban sudah sampai kepenghujungnya dan ini menandakan bulan yang diberkati akan datang menjenguk kita tidak lama lagi. Bulan yang dinantikan oleh para aulia' serta mereka yang bertaqwa kepada Allah kerana didalam bulan ini dipenuhi dengan keberkatan, tambahan pula didalam bulan ini ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan ini adalah bulan kesembilan dalam kelender hijrah yang jatuh pada musim panas yang menghauskan kerongkong, moga dapat menghanguskan dosa yang terdahulu dan membina amal ibaadah yang cemerlang.
Didoakan semoga bulan ini dapat dilalui dengan kesempurnaan amalan dan dapat melenturkan nafsu yang sentiasa mengongkong diri kearah kebathilan dan kejahilan. Setiap detik serta hari di bulan yang mulia ini dapat disantuni dengan amalan soleh yang akan membina diri menjadi insan yang mulia di sisi Allah.

Didoakan hadith Ar-Rasul seperti dibawah dapat menjadi pedoman di bulan yang mulia nanti.

1) Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.” Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

2) Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah SAW, Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda:

Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”

Baginda pun menjawab:

sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”. 

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
3) Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata:

“Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: 

“Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” 

(Riwayat Muslim).

4) Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

"Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

(Riwayat at-Tirmidzi)

5) 
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

6) Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; 

Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu.” 

(Riwayat Bukhari & Muslim)

7) Dari Abu Hurairah ra katanya : "Rasulullah saw bersabda :

"Apabila seseorang kamu berpuasa sejak pagi pada suatu hari, janganlah ia bercakap kotor dan jangan membuat kesalahan. Kalau ada orang yang memakinya atau hendak membunuhnya hendaklah dia mengucapkan "Sesungguhnya saya orang puasa sesungguhnya saya orang puasa" 

(Hadis riwayat Muslim)

8). Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

 “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.” 

(Riwayat Ibnu Majah)

9)
Daripada Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

 “Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan”. 

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

10)Sabda Rasulullah s.a.w: 

"Sesungguhnya syaitan masuk ke dalam tubuh bani Adam melalui pembuluh darah.  Maka persempitlah pembuluh darahnya dengan lapar dan puasa." 


(Hadith Riwayat Muslim)

11) Daripada Abu Sa’id al-Khudriy ra, rasulullah saw bersabda:

Tiada seseorang hamba yang berpuasa sehari pada jalan Allah, melainkan Allah akan jauhkan wajahnya dengan hari tersebut dari neraka sejauh 70  tahun perjalanan.


(Hadith Riwayat  Bukhari dan Muslim)


Selamat datang Ramadhan.....







Browsed by others

Your weather just got better.