Sunday 3 February 2019

  BABAK PENTING DALAM KARIER KERJA KU DI MARDI

   Tanggal 1 Februari 2019 mengulangi kembali peristiwa yang berlaku hampir 4 tahun lepas iaitu pada tanggal 31 September 2015. Dulu pada tarikh 31 September 2015, aku hampir tergamam dan terkejut dengan perlantikan aku sebagai Timbalan Pengarah Promosi dan Pemindahan Teknologi Pusat Promosi dan Pembangunan Usahawan (PB) MARDI. Antara percaya dan tidak percaya aku terus mendaftar diri dan menyahut cabaran untuk menggalas tanggungjawab ini. Bak kata salah seorang boss ku " kau redah aje ". Ada juga yang memberi kata-kata hikmat "ikut sahaja arahan yang diberi oleh boss,kalau ada masalah boleh bincang kemudian". Namun pengalaman  kerja ku di PB adalah saat kerja yang paling mencabar disepanjang karier ku di MARDI. Pelbagai jerit perih, duka nastapa dan kepayahan yang ku harungi dalam menggalas tanggungjawab tersebut. Antara tugasan yang mencabar yang perlu aku laksanakan adalah untuk menguruskan 2 projek NBOS3, Inkubator dan AZAMTANI MARDI. Pada akhir karier ku di Pusat PB, program ku di tukar kepada program Peningkatan Skala, tapi macam-macam ada didalamnya. Ada kerja pembangunan usahawan tua serta muda, pemindahan teknologi, latihan, promosi , pameran dan pelbagai rencam kerja.

    Tapi tanggal 1 Februari 2019 telah merubah segalanya, aku tidak lagi menjadi Timbalan Pengarah dan memegang apa-apa jawatan pengurusan tetapi menjadi Pegawai Penyelidik di Pusat lama ku, Bak kata perpatah bagaikan sireh pulang ke ganggang. Aku dikehendaki membuat kerja-kerja penyelidikan semula, kakitangan yang ada PhD perlu membuat kerja penyelidikan. Maka aku perlu mengubah fokus dan hala pemikiran ku yang hampir 4 tahun dengan kerja-kerja perkhidmatan pemindahan teknologi dan pembangunan usahawan kepada kerja-kerja penyelidikan. Ya Allah bantulah hamba mu ni dalam melaksanakan tugas ini. Allah humma inni asalukal 'afiah.

   Aku telah melaporkan diri ke tempat kerja baru dan di tempatkan di ER1 iaitu program mekanisasi pemprosesan makanan dan lepas tuai, begitulah lebih kurang nama programnya. Timbalan Pengarahnya Dr Azman bin Hamzah.

   Banyak pengalaman pahit dan manis selama hampir 4 tahun di Pusat Promosi dan Pembangunan Usahawan. Ia akan menjadi bekalan dan panduan ku semasa bertugas di MARDI dan juga di mana2 agensi. Aku bersama dengan usahawan dan peserta AZAMTANI yang miskin, menyelami kehendak dan permasalahan mereka. Apa yang mereka harapkan pada MARDI dan kakitangan MARDI serta jenis teknologi apa yang mereka inginkan. Paling tidak, aku tahu keperluan usahawan dan golongan sasar dalam bidang pertanian dan makanan. Aku berdoa agar segala usaha yang telah aku laksanakan ini menjadi amal-amal soleh yang akan memberatkan timbangan amal kebaikan ku, apabila aku menggadap Tuhan Yang Maha Esa nanti. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Tuesday 21 August 2018

Lembaran Baru Di Pusat Promosi dan Pembangunan Usahawan MARDI di awal Aidil Adha 2018

Hari ini tinggal 1 hari untuk menyambut Eidul Adha 2018. Kebanyakan rakan Timbalan Pengarah Pusat PB MARDI telah mengambil cuti untuk pulang menyambut eidul adha di kampung halaman masing-masing. Eidul Adha tahun ni saya menyertai program Qurban yang di anjurkan oleh MARDI. Tarikhnya pada 24/8/2018 di perkerangan tempat letak kereta Pusat BioTek MARDI.

Namun begitu fikiran ku tertumpu kepada proses penjajaran semula struktur organisasi MARDI serta proses penempatan semula kakitangan sesuai dengan keterampilan mereka bagi memenuhi objektif organisasi. Dimana aku akan diletakkan, desas desus yang meniti dari mulut ke mulut mengatakan yang ada ijazah PhD akan diletakkan semula ke sektor penyelidikan untuk buat penyelidikan. Pindah randah lagi aku nampaknya. Dulu lama di sektor penyelidikan, kemudian dipindahkan ke sektor promosi dan pembangunan usahawan. Nampaknya jika ditakdirkan Ilahi pindah lagi nampaknya. Tak apalah  nak buat macamana kita makan gaji dengan gomen, ikut aje arahan. Tambahan pula tinggal 6 hingga 7 tahun lagi nak pencen. Ikut ajelah. Moga Allah mempermudahkan segala urusan dan diberkati segala usaha serta rezeki. Ameeen

Thursday 5 January 2017

                              Menjawat jawatan baru di MARDI


    Hari ini 5 Januari 2017 genap 1 tahun 3 bulan saya berada ditempat kerja baru di MARDI. Pada hujung bulan September 2015 saya telah di tukar dari tempat kerja lama saya iaitu di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan ke Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan MARDI. Sudah 25 tahun saya membuat kerja-kerja di MARDI yang berkaitan dengan kejuruteraan. Pada tarikh tersebut saya perlu berpindah ke tempat baru berikutan dari arahan pihak atasan MARDI untuk saya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Promosi dan Pemindahan Teknologi(PB3). Pertukaran tempat kerja ini berikutan penyusunan jawatan dalam MARDI berikutan persaraan En Yazid sebagai Pengarah MARDI Melaka. Puan Saniah bt Kormin yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Pengarah PB3 di tukarkan menjadi Pengarah MARDI Melaka. Sayalah orangnya yang dipilih menggantikan jawatan Timbalan Pengarah PB3 yang dikosongkan itu.
    Berdebar dan agak menggelabah juga apabila mendapat berita perpindahan ini melalui portal anjung net MARDI. Kadang-kadang tak percaya, betul ke saya akan menjawat jawatan tersebut. Ini memandangkan latarbelakang saya yang mempunyai pendidikan dan kemahiran dalam bidang elektrik, elektronik dan sensor. Ditempat baru kebanyakan ilmu kemahiran yang diperlukan adalah berkaitan dengan pemprosesan makanan, tanaman dan ternakan. Ini kerana kebanyakaan kerja disini yang berkaitan memindahkan pengetahuan teknologi dan melatih usahawan yang beroperasi dalam bidang pemprosesan makanan,tanaman dan ternakan.
    Saya telah meminta nasihat dari rakan taulan mengenai perpindahan ketempat kerja baru ini, semua mereka menggalakkan saya untuk akur berpindah dan menjawat jawatan Timbalan Pengarah Promosi dan Pemindahan Teknologi (PB3). Di tempat kerja baru saya di amanah untuk bertanggungjawab keatas kerja promosi dan pemindahan teknologi MARDI seperti AZAMTANI, ladang contoh, testbed,TWG,MyAgrosis,TIC,promosi teknologi melalui media serta perlancaran. 
    Selang tidak berapa lama kemudian berlaku perstrukturan semula MARDI dimana program peningkatan skala (PB1) yang di ketuai oleh Dr Hairudin bin Amir ditukar menjadi program Technology commercialisation office (TCO) yang di ketuai oleh seorang pengarah Dr Mohd Kamal bin Abd Kadir. Salah satu komponen kerja dalam PB1 iaitu program inkubator MARDI tidak di bawa bersama ke dalam program TCO dan dimasukkan dibawah program PB3 yang diketuai oleh saya. Maka bertambahlah tugas dan tanggungjawab yang perlu saya pikul di MARDI. Program inkubator ada 4 semuanya iaitu inkubator MARDI Alor Setar yang beroperasi untuk pemprosesan extruded food products, inkubator MARDI Kuala Linggi yang beroperasi untuk mengeluar minyak pati dan cosmetic products dari minyak pati, inkubator MARDI Besut yang beroperasi untuk mengeluarkan produk makanan berasaskan keledek vitato dan inkubator MARDI Kota Kinabalu beroperasi untuk mengeluarkan produk makanan berasaskan ikan.
       Baru saja berlaku perstrukturan dalam Pusat PB, berlaku pula perstrukturan semula di MARDI dimana Pusat TS telah distruktur semula dimana Pameran,Persidangan, NATC dan Green Shoot Tani Worrior (GSTW) telah dibawa masuk ke dalam Pusat PB dan diletakkan dibawah program saya iaitu Promosi dan Pemindahan Teknologi (PB3). Ya Allah banyaknya tugas saya, mampukah saya nak membawa beban tugas yang berat ni. Saya telah membuat perbincangan dan mendapat nasihat daripada Pengarah saya Tuan Hj Hassan bin Said, kemudian kami memecahkan program PB3 kepada dua program iaitu program promosi dan pemindahan teknologi dan program peningkatan skala. Pengarah dan saya telah berbincang dengan pihak pengurusan atasan dan mereka bersetuju untuk mengadakan 1 lagi tambahan program di Pusat PB iaitu program peningkatan skala (PB4) yang mana akan menjalankan kerja-kerja Testbed, Ladang Contoh, Inkubator,Azam Tani serta kerja-kerja promosi teknologi. Pameran,Persidangan dan Green Shoot Tani Worrior (GSTW) diletakkan dibawah program PB3 manakala NATC dibawah pejabat Pengarah.
       Itulah serba sedikit coretan cerita saya ditempat kerja baru saya Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan. Saya berdoa semoga Allah memudahkan segala urusan kerja saya di sini serta memberi saya kekuatan untuk melaksanakan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan. Dengan nama Allah aku betawakkal kepada mu Ya Allah. Ya Allah aku berlindung dengan mu, dari tersesat dan disesatkan, dari tersalah atau dipersalahkan, dari menzalimi atau di zalimi , dari menganggu atau di ganggu. Ameeeen ya Rabbbal Alamin.

Sunday 15 November 2015

Hidup tidak sentiasa indah ada kalanya ia diselubungi mendung dan keresahan. Itu semua merupakan asam garam yang datang untuk menjadi insan yang matang dan sabar. Ujian dan mehnah dari Tuhan untuk mengetahui siapa yang lebih bertaqwa dan bersabar. Sesuatu yang buruk pada pandangan kita barangkali mempunyai hikmah yang besar di sisi Tuhan.Hidup yang sementara jangan dikejar dan tidah seharusnya menjadikan jiwa rasa tertekan dan gundah gulana akibat dari mehnah serta tribulasi di dunia yang bersifat sementara ini. Kehidupan akhirat yang kekal abadi adalah destinasi utama dengan menjadikan dunia sebagai usha kita melabor untuk kesenangan pada alam yang kekal abadi. Beribadah serta taatlah pada perintah Allah serta Rasul agar kita dapat berbahagia di alam yang kekal abadi.

Wednesday 6 August 2014


Tanda-tanda besar hari Qiamat


1. Tanda yang pertama


TERBITNYA MATAHARI DARI ARAH BARAT

Di dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a. disebutkan, Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

(Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga matahari terbit dari arah Barat. Maka apabila matahari sudah terbit dari arah Barat, lalu semua manusia pun akan beriman seluruhnya. Tetapi perbuatan mereka yang sedemikian itu adalah sudah tidak berguna lagi. Keimanan seseorang yang belum pernah beriman sebelum peristiwa tersebut atau memang belum pernah berbuat kebaikan dengan keimanan yang sudah dimilikinya)

Diriwayatkan oleh Imam-Iman Bukhari, Muslim dan Abu Dawud.

Jadi apabila matahari sudah keluar dari arah Barat maka orang yang asalnya kafir tidak lagi diterima imannya dan orang mukmin yang berbuat maksiat tidak lagi diterima taubatnya. Ringkasnya pintu taubat sudah ditutup rapat-rapat setelah terjadinya peristiwa ini. Selain itu pintu taubat juga telah ditutup oleh Allah Taala, apabila manusia itu rohnya sudah sampai di tenggoroknya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.s yang bermaksud:

(Sesungguhnya Allah Taala menerima taubat hambaNya selama rohnya belum sampai di tenggoroknya.)


Diriwayatkan oleh Imam tirmidzi dari Ibnu Umar.

2. Tanda yang kedua


MUNCULNYA BINATANG YANG AJAIB

Alamat besar yang kedua ialah muculnya binatang yang ajaib atau aneh sekali, sebab binatang ini dapat bercakap-cakap iaitu memberitahukan kepada orang ramai yang tidak beriman terhadap ayat-ayat Allah Taala, sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam kita Al-Quran seperti berikut:

Yang bermaksud:

Dan ketika keputusan datangnya hari kiamat sudah dekat saat tibanya dan akan adanya siksa kepada orang-orang kafir, maka Kami mengeluarkan suatu binatang dari bumi yang dapat berkata-kata terhadap orang-orang tadi, memberitahukan bahwa para manusia itu sama tidak beriman kepada ayat-ayat Kami.
- surah An-Naml 82 -

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:

(Sesungguhnya pertama-tama alamat-alamat hari kiamat yang akan keluar iaitu terbitnya matahari dari arah Barat dan keluarnya binatang kepada orang ramai diwaktu dhuha iaitu kira-kira jam 9 pagi. Mana diantara keduanya yang lebih dahulu sebelum kawannya, maka yang lainnya akan menyusul sebentar lagi dibelakangnya)

Diriwayatkan oleh Imam-Iman Muslim dan Abu Dawud

Adapun hal binatang ini adalah termasuk dalam hal-hal ghaib yang tidak terdapat keterangannya di dalam Al-Quran dan tidak pula di dalam Al-Hadis Ash-Shahih. Yang ada hanyalah penjelasan bahawa setelah dekat akan hari kiamat nanti, maka munculnya suatu binatang yang dapat berkata-kata memberitahu kepada orang ramai. Keterangan yang lain tida ada sedikitpun. Hanya hadis yang tersebut didalam kitab Al-Jamiush-shaghir, diceritakan oleh sahabat Abu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

(Binatang - yang sebagai alamat akan tibanya hari kiamat itu keluar dengan membawa cincinya Nabi Sulaiman dan tongkatnya Nabi Musa a.s, kemudian memberikan semacam tanda, kepada orang mukmin dengan menggunakan tongkatnya dan kepada orang kafir dicap hidungnya dengan menggunakan cincin itu, sehingga orang-orang yang ahli menjamu tamu sedang berkumpul.. antara mereka akan mengucapkan: " Hai orang mukmin dan yang lainnya mengucapkan Hai orang kafir")

Diriwayatkan oleh Imam-Imam Ahmad, Tirmidzi , Ibnu Majah dan Hakim.

3. Tanda yang ketiga


TURUN ATAU KELUARNYA IMAM ALMAHDI

Imam Mahdi itu akan keluar di akhir zaman, namanya Muhammad bin Abdullah atau Ahmad bin Abdullah.

Diriwayatkan oleh Imam-iman Abu Dawud dan Tirmidzi

Imam Mahdi itu termasuk dalam lingkungan ahlulbait atau keluarga Rasulullah s.a.w iaitu dari puteri beliau yang bernama Fatimah r.a
Diriwayatkan oleh Imam-iman Abu Dawud dan Hakim
Imam Mahdi itu menyerupai Rasulullah s.a.w dalam hal budi pekertinya, tetapi tidak menyamai dalam bentuk rupa atau bentuk tubuhnya, yakni tidak serupa dalam perihal sifat-sifat badaniyahnya.
Semasa dalam pemerintahannya amatlah rezeki umat kerana dia sememangnya berlaku adil dan banyak pula harta yang diberikan. Ia mengagih-agihkan harta itu dengan sama rata.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud Imam Mahdi menetap selama tujuh tahun setelah itu Dajjal pun keluar.

4. Tanda Keempat


KELUARNYA ALMASIH DAJJAL

Almasih ertinya seorang pengembara dan Dajjal ertinya banyak dusta dan penipuannya.

Dajjal berdusta dengan mengaku Tuhan dan berusaha keras memperdaya seluruh umat manusia mengikutinya. Ia berupaya membuat keajaiban dan keanehan. Sehingga akhirnya ramai yang menjadi kafir semula.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Yang bermaksud

(sesungguhnya Dajjal itu keluar dan besertanya adalah air dan api, maka apa yang dilihat oleh orang ramai sebagai air, sebenarnya adalah api yang membakar dan sedang apa yang dilihat oleh orang ramai sebagai api, sebenarnya adalah air yang dingin dan tawar.Maka barangsiapa yang menemuinya hendaklah menjatuhkan dirinya dalam apa yang dilihatnya sebagai api itu kerana sesungguhnya yang ini adalah air tawar yang nyaman)
Diriwayatkan oleh Imam-Imam Bukhari dan Muslim

Ada pula hadis yang menerangkan bahawa Dajjal itu tidak dapat memasuki kota-kota Makkah dan Madinah kerana dijaga oleh Malaikat.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

(Tidak sebuah negeripun melainkan pasti dipijak oleh kaki Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Tiada suatu lorongpun dari lorong-lorong yang menjurus ke arah kedua kota itu kecuali di situ ada para Malaikat yang berbaris rapat untuk menjaga atau melindunginya. Dajjal itu turun di Sabahan, kemudian Madinahpun bergoncanglah tiga kali goncangan yang dengan sebab itu, Allah lalu mengeluarkan dari bumi Madinah itu semua orang kafir dan munafik)
Diriwayatkan oleh Imam Muslim

Tetapi Bagi kaum mukminim Allah s.w.t tetap memelihara hati dan iman mereka agar tidak terpedaya dengan fitnah Dajjal ini.Bagi mengelakkan fitnah Dajjal ini sentiasalah membaca dan mengamalkan surah Al-Kahfi

5. Tanda ke Lima


TURUNNYA NABI ISA A.S

Nabi Isa a.s diturunkan kebumi di saat Dajjal masih berkuasa dan memperluaskan pengaruhnya. Rasulullah s.a.w. menjelaskan kisah Nabi Isa a.s. seperti berikut:

Yang bermaksud:
(Maka Isa itu dikalangan ummatku adalah sebagai seorang hakim yang adil, pemimpin yang jujur. Dia akan merosak (menghapuskan) palang salib dan dengan demikian adalah menandakan akan hancur agama kristian... Haiwan seperti babi disembelih dan pajak gadai dihapuskan...
Maka dengan ini adalah sebagai tanda bahawa akan datang nanti yang dapat hidup hanyalah agama Islam belaka kerana Islam tidak mengenal pajak dan tidak mengutip atau memungutnya dari golongan pemeluknya tetapi pajak hanya dipungut dari kaum kafir dzimmi yakni yang ditanggung keselamatan badan, jiwa dan hartanya oleh pemerintah Islam. Beliau Nabi Isa a.s juga meninggalkan sedekah... kerana seluruh ummah manusia waktu itu sudah hidup dalam kecukupan dan kemakmuran duniawiyah....
Juga tidak diperlukan lagi untuk mengira-gira zakatnya kambing dan unta. Selain itu dilenyapkan hati yang mendongkol atau sifat benci membenci. Bahkan dilenyapkan juga segala sengat atau bisa semua binatang yang berbisa.... sehingga ada kanak-kanak lelaki yang memasukkan tangannya ke dalam mulut ular, tetapi ular itu sudah tidak merbahaya sedikitpun pada kanak-kanak tadi. Begitu juga dengan anak perempuan kecil yang menarik perhatian seekor singa untuk melarikannya tetapi singa itu sudah tidak membahayakan dirinya. Seekor serigala boleh berada di kumpulan kambing tetapi dia tidak mengganggu kambing tersebut malah bertingak sebagai penjaganya. Diatas muka bumi ini penuh dengan kedamaian dan kerukunan bagai sebuah bekas yang penuh dengan air. Kalimah hak (kebenaran) merupakan kesatuan yang bulat dan tidak ada yang disembah melainkan allah. Tiada peperangan. Bangsa Quraisy merampas kembali kerajaannya dan bumi menjadi amat bersih sekali seperti sebuah bejana dari perak dan tumbuh-tumbuhannya seperti sejak zaman Nabi Adam a.s amat indah dan sedap mata memandang)

Jelas bahawa yang disiar-siarkan oleh Nabi Isa a.s. itu nanti adalah syariat agama Islam yang telah di lalai dan dilupakan oleh orang ramai lalu dihidupkan kembali sebagaimana yang diajarkan oleh Junjungan Nabi Muhammad s.a.w dahulu. Setelah membunuh Dajjal tidak lama kemudian beliau wafat dan jenazahnya disolat dan dikebumikan oleh kaum muslim.

6. Tanda ke enam


KELUARNYA BANGSA YA'JUJ DAN MA'JUJ

Seperti yang di ceritakan di dalam Al-Qur'an Al-Karim (Surah Al-Kahfi ayat 98-99) secara ringkasnya kisah Ya'juj dan Ma'juj ini berlaku ketika di zaman raja Zulqarnain. Bangsa atau kaum Ya'juj dan Ma'juj ini adalah kaum yang suka membuat kerosakan dan menghuru hara kan negara. Seluruh rakyat mengadukan hal yang sama kepada raja Zulqarnain. Mereka meminta supaya didirikan tembok atau dinding yang kuat yang dapat memisahkan rakyat dengan dua kaum perosak ini.
Akhirnya dengan bantuan rakyat Raja Zulqarnaian mendirikan benteng yang dibuat dari gumpalan besi yang amat besar dan dikumpulkan besi sehingga merata antara dua gunung. Zulqarnaian lalu berkata "Nyalakan api disitu". Setelah kumpulan besi itu menyala menjadi api, Zulqarnain berkata lagi: "Bawalah kemari tembaga yang dilebur itu. Kini akau hendak menuangkannya kepada pagar besi yang sedang menyala-nyala itu". Setelah itu bangsa atau kaum Ya'juj dan Ma'juj tidak dapat lagi memanjat ke atas pagar tersebut dan tidak pula dapat menembusi kebawahnya. Dengan kekuasaan Allah Ta'ala tiba hampirnya kiamat pagar besi itu akan tiba-tiba roboh dan rata dengan bumi, mungkin disebabkan oleh kejadian gempa bumi yang sering berlaku seperti sekarang dan juga atas sebab-sebab lain yang kita tidak ketahui. Kedua kaum ini akhirnya akan keluar dan muncul di kalangan ummat manusia sebagai bangsa perosak dan ganas.

Di dalam hadis pula meriwayatkan bermaksud:
(Allah melepaskan bangsa Ya'juj dan Ma'juj dan mereka bergegas-gegas untuk keluar dari tempat yang tinggi. Golongan yang pertama yang keluar dulu menuju ke sebuah tasik atau lautan kecil yang di panggil Thabariyah, lalu meminum air laut itu, ketika golongan yang kemudian melalui tasik yang sama mereka berkata: " Laut ini, tadi baru sahaja ada airnya"... ini menunjukkan bahawa kedua bangsa ini memang benar-benar perosak dan menghabis-habiskan (melahap) makanan dan minuman tidak seperti manusia biasa)

7. Tanda ke tujuh


KELUARNYA ASAP (AWAN)

BUKTI TANDA KELUARNYA ASAP (AWAN) ini juga terdapat dengan jelas di dalam Al-Quran Al-Karim...

Firman Allah sebagai berikut yang bermaksud:
(Maka nantikanlah oleh mu Hai Muhammad pada hari datangnya langit dengan membawa asap yang nyata, yang menutupi seluruh ummat manusia. Allah berfirman: "Inilah siksa yang amat pedih sekali". Para manusia berkata: "Wahai Tuhan kami, Semoga Engkau membuka (melenyapkan) siksa ini dari kami semua, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang beriman").

Adapun keadaan asap ini berbeza sekali... jika terkena orang mukmin atau orang kafir. Jika terkena pada orang mukmin (orang Islam) akan dirasakan sebagai penyakit pelik atau selsema, tetapi jika terkena orang kafir akan menyebabkan orang itu mabuk dan asapnya akan keluar dari hidung, kedua mata, kedua telinga dan juga dari duburnya pula.

Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir. Antara dalil-dalil tentang hal ini dari Al-Qur`an adalah:

“Maka tunggulah hari ketika langit membawa asap yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah adzab yang pedih.” (Ad-Dukhan: 10-11)

Al-Qurthubi rahimahullahu berkata: “Mujahid rahimahullahu berkata: ‘Ibnu Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dahulu berkata: Itu adalah dua asap. Salah satunya telah terjadi. Adapun yang belum terjadi, asapnya akan memenuhi antara langit dan bumi. Asap itu akan menyebabkan seorang yang beriman akan terkena semacam selesma, sedangkan orang kafir akan tembus pendengarannya’.” 
(Diambil dari Asyrathus Sa’ah, hal. 383-388)

8. Tanda ke lapan


ROSAKNYA KAABAH (BAITULLAH ALHARAM)


Rasulullah s.a.w bersabda sebagai berikut yang bermaksud:

Kaabah akan dirosakkan oleh seorang Habsyah yang berbetis kecil.

Diriwayat oleh Imam Bukhari (no. hadis: 1596)

Kaabah diruntuhkan;-Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:-“Ka’bah akan dihancurkan oleh orang Habsyah (orang Negro) yang bergelar “Dzus-Suwaiqatain” (orang yang kedua-dua betisnya kecil) dan ia akan merampas segala perhiasannya dan melucutkan kelambunya. Seakan-akan terbayang di hadapan mataku keadaan seorang yang botak, bengkok sedikit sendi-sendinya. Ia memukul-mukul Ka’bah itu dengan besi penyeduk dan kapak besar”;-

 Hadith  Riwayat Imam Ahmad.

9. Tanda ke sembilan


LENYAPNYA AL-QURAN DARI MUSHHAF DAN HATI

Maksudnya disini ialah Kitab suci Al-Qur'an itu tulisannya akan hilang samasekali dan yang tertinggal hanyalah kertasnya yang putih bersih belaka. Juga tidak seorang pun yang masih ingat akan bunyinya. Orang yang hafal (para hafiz dan hafizah) Al-Qur'an itu sudah tidak ada barang seorang pun, sekali pun hanya se ayat. Ini adalah tanda besar akan segeranya berlaku kiamat.

Dalam sebuah hadis dari Hudzaifah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Artinya:
(Agama Islam itu akan dilebur, yakni lenyap, sebagaimana dileburkannya warna baju sehingga tidak lagi di ketahui apa itu yang dinamakan ibadat, puasa, sholat dan sedekah. Juga dihapuskan tulisan diatas Kitabullah dalam masa satu malam sahaja kemudian tiada yang tertinggal di bumi walau seayat sekalipun. Yang tetap ada ialah beberapa golongan dari ummat manusia yang tua-tua, lelaki atau perempuan semuanya mengatakan: "Kita semua pernah bertemu dengan ayah-ayah atau nenekmoyang kita dengan suatu ucapan yang berupa La ilaaha illallaah, oleh sebab itu kita pun akan menetapi ucapan yang sedemikian itu."
Shilah lalu berkata kepada Hudzaifah "Tiada ada gunanya orang-orang itu menetapi kalimat La ilaaha illallaah, sebab orang-orang itupun juga tidak mengerti apa yang dinamakan sholat, puasa, sedekah dan ibadat"
Hudzaifah memalingkan mukanya dan orang tertersebut (Shilah) mengulangi sekali lagi ucapannya sehingga tiga kali berturut-turut.
Sementara itu Hudzaifah pula memalingkan mukanya ke arah lain. Kemudian Hudzaifah menghadap orang itu dan berkata " Hai Shilah, Kalimat La ilaaha illallaah itu dapat menyelamatkan orang-orang tua tadi dari siksa api neraka". Ucapan sedemikian diulangi olehnya sampai tiga kali pula)

Diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah

10. Tanda ke sepuluh


ORANG-ORANG SELURUH ALAM DUNIA MENJADI KAFIR SEMUA

Ini adalah tanda yang kubra yang terakhir sekali... bahawa kiamat akan berlaku tidak lama lagi. Selama di atas permukaan bumi ini masih ada orang Islam, sekalipun hanya seorang saja dan walau hanya cuma dapat mengucapkan kalimat syahadat ataupun masih ada yang menyebutkan nama Allah, maka hari kiamatpun masih tidak berlaku dan tidak akan tiba. Hal ini jelas disebutkan dalam sabda Rasullah s.a.w.

Artinya:

(Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga di atas permukaan bumi ini tida lagi diucapkan kalimat Allah, Allah)

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dari sahabat Anas r.a.

Juga dalam hadis lain disebutkan yang bermaksud:

(Sesungguhnya Allah berfirman kepada malaikat Israfil: "Jikalau engkau mendengar ada orang mengucapkan Allah, Allah, maka tangguhkanlah tiupan sangkakala itu selama empatpuluh tahun lagi kerana untuk memuliakan kepada orang yang mengucapkan tadi)

Tuesday 26 November 2013

Serangga bena perang


Serangga bena perang adalah mahluk ciptaan Allah yang mendiami sawah padi sekitar Asia Tenggara, China, Korea, Jepun dan juga sekitar benua India.Nama saintifik bagi serangga ini adalah Nilaparvata lugens. Bena perang terbahagi kepada yang bersayap pendek dan bersayap panjang. Ia mengambil masa 28 hari untuk membesar dari peringkat telur hingga keperingkat dewasa untuk satu pusingan hidup.  Saiz serangga ini adalah sangat kecil disekitar 5 mm.

Serangga ini menjadi pokok padi sebagai makanan dengan menghisap cecair pada pangkal batang pokok padi. Gerombolan ribuan serangga ini mampu untuk memusnah beribu hektar padi dengan menghisap cecair dalam batang padi sehingga menjadi kering. Kebiasaannya serangga ini akan menyasarkan pokok padi yang berumur 40-80 hari selepas tabur sebagai pilihan makanan mereka. Ia akan menyebabkan pokok padi menjadi kuning dan mati dan keadaan ini di kenali sebagai "hopperburn". Gambar di bawah adalah rupa keadaan padi yang telah diserang oleh serangga bena perang "hopperburn".





Dilaporkan dalam suratkhabar sinar harian bertarikh 19/12/2012, lebih 80 hektar sawah padi di Bagan Tiang Titi Serong Kerian Perak telah musnah akibat serangan bena perang. Ini telah menyebabkan petani mengalami kerugian dianggarkan mencecah RM1 juta. Suratkhabar Utusan Malaysia bertarikh 3/2/2010 juga melaporkan bahawa sawah padi di kampung Bukit Raya dalam daerah Pendang Kedah juga diserang oleh serangga bena perang dan menyebabkan pokok menjadi kering yang mana dikenali sebagai "hopperburn". Hampir seribu pesawah padi di kawasan tersebut bimbang akan kerugian ratusan ribu ringgit untuk musim tersebut. Dan mungkin banyak lagi kejadian sebegini telah menimpa pesawah padi akibat dari serangan serangga kecil bena perang ini. Petani yang kebanyakan berpendapatan tidaklah tinggi telah mengalami kerugian ribuan ringgit. 

Dimanakah punca kepada malapetaka yang menimpa pesawah padi ini. Mari kita menyelusuri kepada pengalaman mereka yang telah lama berkecimpung dengan serangan bena perang ini. Daripada website ricehopper.net melaporkan daripada seminar "Ecological Engineering in rice pest management and launching the Myanmar version of the film hopper race" yang telah di adakan di Yangoon Burma 11/10/2013 , anjuran IRRI,ADB dan MRF telah menyatakan bahawa peningkatan serangan bena perang di Asia adalah akibat daripada peningkatan penggunaan racun serangga di kawasan ini. Juga dilaporkan dalam "executive summary" kepada kertas kerja "ADB Sustainable Development Working paper Series" yang bertajuk "Addressing Planthopper threats to Asian Rice Farming and Food Security: Fixing Insecticide Misuse" oleh Dr KL Heong bahawa saintis telah menunjukkan bahawa seranggan bena perang yang mengakibatkan  "hopperburn" adalah disebabkan oleh penggunaan racun serangga yang berlebihan, yang juga di rangsangkan oleh promosi penggunaan racun serangga yang melampau. Website http://irri.org/index.php?option=com_k2&view=item&layout=item&id=11581&Itemid=100888&lang=en
adalah website yang membincangkan secara terperinci bagaimana mengelak dari belaku serangan serangga bena perang.

Jika kita melihat daripada fenomena di atas benarlah firman Allah dalam surah Ar Rum ayat 41 yang bermaksud "Telah berlaku kerosakan di darat dan di lautan disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)". Dalam surah Al-A'raf ayat 56 Allah berfirman dengan maksudnya " Dan janganlah kamu membuat kerosakan di mukabumi, sesudah Allah memperbaikinya". Peringatan dari Allah lagi dalam surah Al-A'raf ayat 96 " Jika sekiranya penduduk kota-kota beriman dan bertaqwa, pasti kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami), maka kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka".

Semoga kisah serangan bena perang ini dapat menginsafkan kita akan keperluan untuk menjaga keseimbangan persekitaran yang telah dicipta oleh Allah. Marilah kita menjadi manusia yang beriman serta bertaqwa kepada Allah agar kita sejahtera hidup di dunia dan juga di akhirat.




Browsed by others

Your weather just got better.